helmi exwostorian

Biarkan Hati Berkata-Kata...Menjadi Pendeta Menutur Kalam Cinta...Walaupun Pedih Untuk Berbicara...Takkan Sirna Al-Haq Walau Terkesima Seribu Bahasa...

Kisah Benar : Mengapa Saya Tinggalkan Malaysia?


Entri ini berasal daripada : http://www.malaysiakini.com

Oleh : Aidila Razak


Situasi modal insan di Malaysia tidak bertambah baik kerana negara kehilangan tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan di masa depan. Banyak tenaga kerja mahir Malaysia meninggalkan negara untuk mencari peluang lebih baik di negara lain dan menurut anggaran Kementerian Sumber Manusia pada 2008 - kira-kira 350,000 dewasa Malaysia bekerja di luar negara. Lebih separuh daripada mereka lulusan institusi pengajian tinggi. Sebagai reaksi terhadap Model Ekonomi Baru yang memfokus untuk membawa balik bakat-bakat negara itu kembali ke negara, Malaysiakini meninjau pandangan golongan itu untuk mengenal-pasti punca mereka meninggalkan negara. Berikut luahan mereka.



NONEFarid Tan, 53, presiden dan CEO, Metro City Bank, Atlanta, Georgia. Meninggalkan Malaysia dengan keluarganya pada 1993. Ketika itu saya berkerja dengan Bank Bumiputera dan ditukarkan ke pejabat di New York untuk selama enam tahun. Selepas itu, saya menimbangkan untuk pulang pada 1999 tetapi ketika itu berlakunya krisis Ekonomi Asia dan keadaan menjadi tidak menentu. Tetapi jika diimbas kembali, jika tiada krisis sekalipun, saya tidak fikir saya akan kembali ke Malaysia kerana demi pendidikan anak-anak. Selain itu, saya juga mempunyai pekerjaan di sana. Lebih banyak peluang di Amerika. Saya tidakpun memiliki ijazah tetapi boleh bersama sekumpulan pelabur, memohon lesen untuk membuka sebuah bank. Saya tidak akan dapat peluang sedemikian di Malaysia. Di Amerika, jika segala peraturan dipatuhi, tiada sesiapa yang boleh berkata 'Tidak' kepada anda. Tiada karenah birokasi ataupun keperluan pertalian politik. NONEEdlina Razak, 34, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Shanghai, China. Berhijrah sebagai pelajar sejak 1993 dan pernah tinggal di Perancis dan Hong Kong. Saya tidak akan kembali, setidak-tidaknya dalam tempoh terdekat ini. Keputusan saya ke luar negara kerana saya tidak yakin dengan universiti tempatan dan pada masa yang sama ketika berusia 17 tahun saya mahu kebebasan daripada keluarga dan masyarakat. Saya masih ingat pada satu malam semasa keluar dengan rakan-rakan, di negara ini, kami ditahan polis. Mereka mengancam untuk melaporkan kepada ibu bapa kami yang kami keluar sehingga larut malam yang secara tidak langsung polis sebenarnya cuba mendapatkan sogokan. Saya tidak akan kembali walaupun ditawarkan gaji yang lebih tinggi di Malaysia kerana berpendapat hidup lebih bagus di luar negara sekalipun jika gajinya kecil. Isabel Lee (nama ditukar atas permintaannya), 26, Peguam, Singapura. Menuntut dan bekerja di luar negara sejak 2004. Saya memilih untuk tinggal di Singapura kerana ia adalah hab perniagaan dan kewangan. Jumlah kerja serta kualiti projek berskala besar yang kami dapat memberi saya pengalaman yang tidak ternilai yang tidak boleh didapati di Malaysia. Saya tidak fikir rakyat Malaysia begitu progresif dan mereka tidak begitu agresif kerana sebegitu selesa. Saya mahu persekitaran yang saya boleh memperbaiki diri saya dan juga cabaran. NONEJacqueline George, Akauntan, 26, Brisbane, Australia. Berpindah pada 2006 untuk melanjutkan pelajaran dan kembali seketika di Malaysia selama setahun sebelum mengambil keputusan untuk terus menetap di Australia. Saya percaya bahawa setiap generasi mesti berupaya menjadi lebih baik daripada generasi sebelum mereka. Keturunan saya berasal dari India dan mereka bekerja keras untuk mengubah hidup kami. Saya berpendapat jika saya terus tinggal di Malaysia, paling tinggi saya cuma boleh berjaya seperti apa yang dicapai oleh ibu bapa saya. Tetapi jika semua aspek diambil kira, punca meninggalkan negara adalah kerana tidak gembira dengan gaji yang ditawarkan, cara hidup, keselamatan dan sebagainya. NONEKhoo Gaik Cheng, 41, Pensyarah di Universiti Kebangsaan Australia, Canberra, Australia. Menuntut dan bekerja di Amerika Syarikat, Kanada, Singapura dan Australia sejak 1990. Tidak seperti di Malaysia, kaum minoriti di Australia dihargai. Saya tidak akan kembali selagi tidak berlaku perubahaan kepada sistem di negara ini. Bercakap secara khusus mengenai akademik, saya mahu melihat pemikir yang progresif, mereka yang cekap, tidak mengamalkan rasuah, berwawasan, mengetuai pelbagai jabatan di universiti sebagai dekan dan naib canselor. Saya tidak mahu melihat orang yang dilantik oleh **** atau ** mengisi jawatan penting di universiti yang hanya menjaga kepentingan ***** dan bukannya universiti ataupun rakyat Malaysia.


# Helmi Exwostorian says:

Benarkah situasi yang disebutkan oleh mereka benar-benar berlaku di negara kita ? Kadang-kadang kita tidak pernah menyedari akan sesuatu realiti yang berlaku secara jelas di pandangan mata sekalipun, namun, sampai di suatu tahap -dengan izin Allah- ada sesuatu yang menyedarkan kita kembali daripada kealpaan kepada titik kebenaran yang dibatasi oleh dinding ilusi dunia. Bagaimanakah kita bisa menterjemahkan pembaharuan yang lebih baik, adil dan saksama supaya semua yang bergelar golongan yang dipimpin tidak kira Islam atau tidak, Melayu atau bukan, miskin atau sebaliknya benar-benar mendapat hak mereka di bawah pemerintahan daulah dan tidak terkepit di bawah pengadilan sang penguasa yang memegang tongkat kuasa?
Pemimpin yang adil serta berintegriti wajib mendukung pembangunan daulah dan ketamadunan ummah bertunjangkan amanah dan tanggungjawab di atas pundaknya. Pemimpin yang adil dan berintegriti akan dihormati, pemimpin yang zalim dan mengkhianati pasti dibenci. Pemimpin yang adil serta berintegriti sebagai acuan membentuk "kuih" masyarakat yang kental, manis dan lazat, berintikan moral dan ketakwaan yang hakiki.
Semua orang inginkan kemajuan. Semua orang inginkan pembangunan. Namun, pembangunan yang diharapkan bagi mengangkat martabat ummah ke puncak kegemilangan seharusnya meliputi pembangunan rohani dan jasmani, zahir dan batin. Sesungguhnya, pembangunan dari sudut jasmani semata-mata tidak akan kekal serta tiada berguna, begitu rapuh tanpa tiang seri yang berperanan sebagai pasak kestabilan dan keutuhan, umpama binaan istana pasir megah berdiri, namun hancur berderai sekelip mata dihempas ombak kecil di bibir pantai.
Seharusnya kita mengerti, bahawa kemajuan dalam erti kata yang sebenarnya tidak mungkin bisa dicapai oleh mana-mana pemimpin pun di dunia , melainkan pemimpin itu benar-benar berada di atas jalan atau manhaj deen Al-Islam bersulamkan telunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, yang dijelmakan melalui sistem kepimpinan ala Rasulullah SAW, para sahabat Radiallahu 'anhum dan tidak terkecuali para khalifah yang turut mendampingi erti kemajuan sebenar sehingga ketamadunan unggul Islam berjaya menguasai 2/3 dunia.
Hak wajib disampaikan kepada yang memiliki hak, sekiranya hak tersebut gagal ditangani dengan baik oleh sang pemegang hak, maka pasti mahkamah akhirat akan mengadili seadil-adilnya di Mahsyar kelak dengan Allah sebagai hakim yang paling agung. Pagar yang dibina kukuh dan teguh diharapkan dapat melindungi padi yang sedang masak menguning di petak bendang daripada menjadi mangsa haiwan ternakan, dan sang pencuri padi yang mengintai peluang untuk mendapatkan untung atas angin tanpa setitis keringat pun. Namun, apakah yang bisa diharapkan lagi apabila pagar yang diletakkan kepercayaan dan harapan keatasnya tiba-tiba runtuh menyembah bumi diterbangkan taufan yang mengganas, serta menghempap malah menyeret padi yang menunggu masa untuk dituai sehingga musnah segalanya?


0 comments: