helmi exwostorian

Biarkan Hati Berkata-Kata...Menjadi Pendeta Menutur Kalam Cinta...Walaupun Pedih Untuk Berbicara...Takkan Sirna Al-Haq Walau Terkesima Seribu Bahasa...

Judi Itu Haram, Kerajaan Malaysia Pula 'Halalkan" Judi?


Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya.

- Bernama



Helmi Exwostorian says :

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 90 bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

Apakah kerajaan yang majoriti penduduknya beragama Islam sanggup menghalalkan sesuatu yang jelas-jelas diharamkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran? Apakah sang penguasa ingin menjadi Tuhan atau mahu mendokong kuasa setaraf Tuhan dengan sewenang-wenangnya ingin memansuhkan hukum judi di dalam kitabNya dengan menghalalkan pekerjaan yang telah Allah haramkan sejak sekian lama serta menjadi pegangan umat Islam sekaliannya?


Seorang lelaki veteran Melayu boroi, berbaju melayu dan bersamping sedang beratur di kedai judi.
http://www.detikdaily.net/


Malang sekali, di Malaysia aktiviti perjudian yang diketahui hukumnya haram dalam Islam di'halalkan' dengan pengurniaan lesen bagi membenarkan ia dijalankan secara sah mengikut undang-undang ciptaan manusia. Manakala, pusat judi yang tidak mempunyai lesen dianggap sebagai pusat judi haram serta dikenakan hukuman mengikut pertimbangan yang ditetapkan.
Apakah wujud perjudian kategori halal dan kategori haram di sisi Allah Ta'ala? Apakah Rasulullah SAW mengiktiraf perjudian 'halal' ini ketika baginda masih menghela nafas suatu ketika dahulu?

Hakikatnya, alasan kerajaan untuk menghalalkan judi di negara kita amat dangkal sama sekali serta tidak layak untuk diterima akal fikiran yang sihat bertautkan keimanan. Apakah pertimbangan yang diwujudkan adalah berlandaskan kebenaran di atas titik ketaqwaan dan rasional akal fikiran, atau berpancangkan nafsu dan kejahilan semata ?
Datuk Awang Adek Hussein dipetik sebagai berkata bahawa pengeluaran lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bertujuan bagi mengelakkan berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Beliau juga menyatakan bahawa aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.
Bukankah alasan ini terlalu mudah untuk dipatahkan waima oleh pelajar sekolah rendah sekalipun? Tidakkah diketahui bahawa pengeluaran lesen untuk berjudi -tidak dapat tidak-, pastinya menggalakkan umat manusia tidak kira bangsa, tidak kira agama termasuk segelintir umat Islam yang jahil mengenai hukum agama untuk melaburkan wang melunaskan nafsu serakah mencium najis judi secara bebas dan terang-terangan? Bukannya semakin mengurangkan aktiviti perjudian, malah semakin bertambah kerana dibenarkan kepada rakyat. Bagaikan orang keletihan selepas penat bekerja sepanjang hari di tengah terik mentari, siapa yang tidak menolak apabila dihulurkan bantal yang lembut dan bisa mengutus jiwa ke alam mimpi? Kerajaan tidak akan mampu mengawal aktiviti ini secara menyeluruh apabila sudah membarah dalam daging dan urat saraf umat masyarakat kelak. Hasilnya, berlakulah kepincangan dalam institusi rumah tangga, peras ugut, rompakan dan samun, dan lebih teruk lagi apabila berleluasanya pembunuhan jiwa manusia hanya kerana menurut nafsu dan desakan inginkan wang bagi melangsungkan perjudian. Bagi yang sudah muflis akibat kehabisan wang serta tertekan kerana tidak mampu membayar hutang, ada segelintir yang sanggup mengambil jalan mudah dengan membunuh diri dan ahli keluarga sendiri. Tidak cukupkah bahana judi dalam kehidupan masyarakat sehingga ia mahu dibenarkan secara bebas dalam negara? Satu lagi, apakah
aktiviti perjudian dengan lesen yang sah tidak akan mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram?
Sudahlah mahu diberikan lesen bagi membenarkan judi diaplikasikan , hasil daripada keuntungannya pula mahu digunakan untuk memodenkan serta memajukan lagi bidang sukan di tanah air. Sedangkan banyak lagi hasil dalam negara yang mampu dijana secara efektif serta bersumber dari perolehan halal untuk kemajuan bidang sukan atau apa-apa bidang sekalipun. Bukankah hukumnya sama seperti membina rumah Allah menggunakan wang hasil menternak khinzir atau memeram anggur? Haram tetap haram !!
Apakah yang seharusnya kita lakukan sebagai menghalang pelaksanaan amalan syaitan ini dibenarkan berlaku di hadapan mata kepala umat Muhammad ini? Sanggupkah kita terpalit dengan najis judi yang bisa mengotorkan jubah amal dan ibadah kita serta membusukkan jalan kehidupan kita menuju Allah? Semoga Allah mengurniakan keinsafan kepada sang penguasa dan meruntuhkan kejahilan para pemimpin umat. Semoga Dia mengampunkan dosa umat Islam kesemuanya..



0 comments: