helmi exwostorian

Biarkan Hati Berkata-Kata...Menjadi Pendeta Menutur Kalam Cinta...Walaupun Pedih Untuk Berbicara...Takkan Sirna Al-Haq Walau Terkesima Seribu Bahasa...

Sabit Melekat Di Kepala Gara-Gara Memberi Nasihat


Entri ini berasal daripada : http://www.erapakatan.com

KUALA LUMPUR : Akibat tidak puas hati dengan teguran supaya jangan duduk di atas bangku konkrit yang baru dibina, kepala seorang buruh hampir terbelah dua selepas sebilah sabit tajam ‘melekat’ di belakang tempurungnya.

Coconut Fish Cave - Cut it in half

Gambar hiasan semata-mata : http://www.aquariumlife.net

Buruh terbabit ditetak oleh seorang lelaki yang menyerangnya dari belakang.

Lelaki itu dipercayai bertindak ganas kerana tidak puas hati teguran mangsa supaya jangan duduk di atas bangku konkrit yang baru dibina berikutan bimbang ia runtuh akibat simen belum kering sepenuhnya.

Malangnya, teguran itu bertukar tragedi berdarah apabila mangsa ditetak di kepala manakala rakannya hampir putus jari selepas diserang hendap suspek yang bersenjatakan sabit.

Mangsa, Abdul Rahman Surni, 49, berkata ketika kejadian jam 2.15 petang semalam, dia bersama seorang rakan membina bangku daripada simen di taman permainan kanak-kanak berhampiran Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.

Sebaik sahaja menyiapkan bangku berkenaan, seorang lelaki tidak dikenali muncul dan cuba duduk di atas bangku konkrit yang masih basah.

“Saya terkejut dengan tindakan lelaki terbabit sebelum menegurnya supaya tidak duduk di bangku itu kerana dibimbangi ia akan roboh.

“Nasihat saya itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan lelaki terbabit yang naik angin dan meluahkan kata-kata kesat,” katanya seperti dipetik media.

Menurutnya, lelaki itu kemudian pergi dari situ dalam keadaan tidak puas hati.

“Namun, saya tidak menyangka dia datang semula beberapa minit kemudian dengan membawa sabit. Lelaki itu terus menyerang rakan saya dengan melibas sabit berkenaan.

“Rakan saya terpaksa menggunakan tangan untuk menahan tetakan terbabit hingga menyebabkan jari hantunya terkoyak. Sejurus selepas itu, suspek melarikan diri,” katanya lagi.

Mangsa yang ketakutan segera mengemaskan perkakas kerjanya untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

“Namun, ketika saya tergesa-gesa meninggalkan lokasi kejadian, dia tiba-tiba muncul dari arah belakang lalu menetak sabit dibawanya sekuat hati ke arah kepala saya.

“Kejadian itu menyebabkan darah memancut keluar dari kepala sehingga membasahi muka saya. Saya ketika itu amat takut dan hanya mampu menjerit meminta tolong rang ramai berikutan bimbang dibunuh suspek yang mengamuk,” katanya.

Menurutnya, jeritan itu menyebabkan lelaki terbabit terkejut sebelum lari meninggalkannya.


Helmi Exwostorian says :

Gila !
Manusia zaman kini semakin hari semakin kejam dan hilang sifat perikemanusiaan sebagai manusia ! Apatah lagi peristiwa ini telah berlaku di tanah air kita sendiri !
Hanya kerana memberi nasihat kepada seseorang yang buta mata hati dan tidak mampu berfikir secara waras , mangsa ditetak dengan sebilah sabit sehingga tempurung kepala hampir terbelah dua dan hampir menemui ajal.
Sebelum ini kita melihat dan membaca laporan-laporan akhbar mengenai kisah ibu dipukul dan ditetak gara-gara perlakuan anak yang derhaka serta memeras ugut si ibu, Tidak terkecuali kisah si anak sanggup memenggal kepala bapa sendiri serta membunuh ahli keluarganya sendiri. Malah, seorang adik telah menetak abangnya sendiri dengan parang akibat tidak berpuas hati kerana si abang meminta sebatang rokok daripadanya ! Banyak lagi peristiwa-peristiwa menyayat hati berkaitan dengan emosi manusia yang "kurang stabil" yang tidak sanggup untuk dipaparkan di sini satu persatu.
Sesungguhnya, akal fikiran membezakan taraf manusia sebagai khalifah Allah Ta'ala dengan haiwan yang melata
di muka bumi . Haiwan mempunyai otak, namun ia tidak mampu berfikir seperti manusia, membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. Yang ada cuma naluri; naluri untuk makan, tidur, berkasih sayang, dan sebagainya. Naluri yang membantu haiwan menjalani kehidupan seharian bagi memakmurkan bumi Allah di samping manusia. Sedangkan manusia itu dianugerahkan dengan akal fikiran yang tidak ternilai harganya untuk digunakan dengan sebaik-baiknya.
Sesungguhnya, akal yang sihat dipandu oleh roh iman berjasadkan Islam yang suci. Apabila nafsu serakah dibiarkan beraja di dalam hati bermahkotakan bisikan syaitan yang sudah berjanji menyesatkan umat Adam sehingga hari kiamat dan mengatasi akal fikiran tersebut, maka hancurlah jasad Islam itu dan matilah roh keimanan bertunjangkan keyakinan kepada Allah Ta'ala dan Rasulnya. Alangkah malangnya umat Islam sekiranya sanggup membunuh, menzalimi serta melakukan kekejaman terhadap saudara seagama sendiri apatah lagi kaum keluarga dan sanak saudara yangmana diharamkan darah mereka untuk dialirkan dia atas muka bumi tanpa sebarang asas dan sebab yang dibenarkan oleh syarak. Sesungguhnya Islam amat menjaga dan memelihara darah umat Islam, maka sesiapa yang melanggar peraturan Islam maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah dan Rasulnya. Jika dilihat dari sudut kemanusiaan sekalipun, tiadalah pembunuhan dan kezaliman ke atas seseorang itu dipandang mulia serta dipuji dan disanjung atas perlakuan tersebut.

Umat manusia keseluruhannya wajib diselamatkan daripada lemas dihempas ombak kesesatan dunia. Umat manusia wajib dikembalikan kepada fitrah dan fikrah manusia yang hakiki di atas manhaj keadilan dan kesaksamaan. Demi Allah yang jiwa manusia berada dalam genggaman tanganNya, mereka tidak akan mampu meredah lautan kesesatan dan kealpaan yang tidak mengenal erti ketaqwaan dan keadilan itu, kecuali dengan berpaut pada pelampung Allah ; Islam dan Iman.




2 comments:

salam..

kadang2 manusia lebih teruk dari "bukan manusia"..dan keadaan dunia sekarang lebih kurang mcm zaman jahiliah dulu2..xpayah tgk jauh2, malaysia sendiri pon menakutkan, maksiat, pembunuhan, riba, rasuah..dunia semakin tua..

 

Wslm..kita mengharapkan kemunculan sang penguasa yg adil dan beriman kepada Allah dalam memimpin rakyat bawahannya.Tanggungjawabnya amat besar supaya akhlak dan amal perbuatan rakyatnya berada di atas jalan islam yg benar. Itulah tujuan jawatan pemimpin diwujudkan; amar makruf nahi munkar bertunjangkan agama sebagai perisai kebobrokan dan kesesatan.
Jika pemimpin tidak bersungguh-sungguh berjuang dalam membawa agama kepada rakyatnya maka kehancuranlah yg akan menjerut rakyat lalu zahirlah kekejaman dan penindasan.