TYSON dengan pakaian ihram bersiap untuk ke Makkah bagi menunaikan umrah, semalam.
Bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson, kelihatan menangis ketika berada Raudah semalam dan menganggap dirinya bertuah kerana berada di satu daripada taman syurga.
Lawatan Tyson ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah ditemani Ketua Persatuan Dakwah Kanada, Shahzad Muhammad.
Kata Shahzad, Tyson menjadi begitu emosional ketika mengucapkan salam kepada Rasulullah (SAW) “Dia menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Nabi sambil mengangkat tangannya.
“Tyson terus berada di kawasan Raudah selama beberapa jam untuk bersolat, membaca al-Quran dan berzikir,” katanya, semalam.
Dia kemudian menukar pakaian untuk mengenakan ihram sebagai persediaan mengerjakan umrah.
Sementara itu, kedatangan Tyson menarik perhatian orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihatnya dari dekat.
Sesetengah pihak sanggup menunggu berjam-jam di hotel didiaminya berhampiran Masjid Nabawi semata-mata mahu mengambil gambarnya.
Malah, dia terpaksa diiring pengawal keselamatan untuk ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur kerana orang terlalu ramai berada di laluan berkenaan.
Tindakan Tyson mengenakan tutup kepala bagi mengelak daripada dikenali juga gagal dan dia terus diekori peminatnya.
Tyson berkata, dia memang gembira diterima baik orang ramai di Tanah Suci.
“Cuma, saya harap tidak diganggu dan biarkan saya menikmati pengalaman beribadah di sini,” katanya.
Selain Masjid Nabawi, Tyson turut meluangkan masa menziarahi Masjid Quba, Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) dan Universiti Islam Madinah. Tyson memeluk Islam ketika di penjara selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang model kulit hitam.
Ketika berada di Kazakhstan minggu lalu, bekas peninju itu berkata, dia amat takut kepada Allah. - Agensi
Helmi Exwostorian says :
Subhanallah...Apabila Allah Taala memberikan hidayah kepada seseorang samada orang Islam atau sebaliknya, maka tiada siapa yang akan mampu menahannya. KuasaNya melewati segalanya, maka apabila hidayah itu menaungi hati dan meliputi api kejahilan dan kekufuran, maka bercahayalah hati dengan cahaya keimanan dan suburlah ia dengan ketaqwaan. Beruntunglah bagi mereka yang hidup dalam keadaan kafir kepada Tuhan kemudian dirahmati dengan hidayah dan iman, namun celakalah bagi mereka yang dilahirkan secara automatik beragama Islam, kemudian terpesong dari iman yang hakiki dan berpaut pada tali kekufuran..
0 comments:
Post a Comment