helmi exwostorian

Biarkan Hati Berkata-Kata...Menjadi Pendeta Menutur Kalam Cinta...Walaupun Pedih Untuk Berbicara...Takkan Sirna Al-Haq Walau Terkesima Seribu Bahasa...

Apabila Si Pembuat Maksiat Dihamparkan Karpet Merah


Malek Noor Dan Ella Terima Anugerah


PEKAN 30 Mac 2010 - Jaguh bina badan, Datuk Abdul Malek Noor dan penyanyi terkenal, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin menyifatkan penganugerahan darjah kebesaran daripada Sultan Pahang hari ini sebagai penghargaan tertinggi setelah lebih 20 tahun bergiat dalam karier masing-masing.

Menurut mereka, penganugerahan itu membuktikan golongan atlet dan artis mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara serta modal insan.

Abdul Malek menegaskan, penganugerahan tersebut mampu menjadi motivasi kepada golongan atlet dan artis untuk terus mengembangkan bakat masing-masing dalam bidang yang diceburi.

''Walaupun penganugerahan darjah kebesaran ini bukan sesuatu yang diminta oleh golongan atlet atau artis, ia merupakan tanda sokongan golongan istana kepada kami untuk terus bekerja'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis istiadat penganugerahan pingat dan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-79 Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada upacara itu, Abdul Malek menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Ella, 43, dan seorang lagi penyanyi, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Spring menerima darjah Setia Mahkota Pahang (SMP).

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menyampaikan pingat-pingat dan darjah kebesaran kepada penerima di Balairung Seri Istana Abu Bakar.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Abdul Malek turut menasihati golongan atlet supaya mengikis sikap meminta-minta sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang yang diceburi untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Abdul Malek kini merupakan duta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menggalakkan golongan atlet menunaikan tanggungjawab membayar cukai pendapatan.

Sementara itu, Ella tidak menyangka dipilih untuk menerima anugerah tersebut pada istiadat kali ini.

Beliau menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu sejarah dalam hidupnya yang telah terbabit dalam industri seni selama lebih 20 tahun.

''Penganugerahan ini menunjukkan kerajaan dan istana memandang tinggi kepada penggiat seni seperti saya untuk terus berkarya," katanya yang terkenal dengan gelaran Ratu Rock. - Utusan Malaysia.

# Helmi Exwostorian says :

Salwa Abdul Rahman, Zahida Rafik, Noryn Aziz, Khatijah Ibrahim, tidak ketinggalan penyanyi tersohor Siti Nurhaliza Taruddin. Demikian sebahagian daripada nama-nama selebriti yang bertuah dalam negara kerana dimuliakan dengan gelaran "Datuk" daripada orang-orang yang memiliki kuasa dalam daulah. Begitu mudah artis-artis di Malaysia mendapat gelaran dan pangkat sebagai penyeri karier mereka . Seolah-olah mereka begitu berjasa dalam memperkukuhkan ketamadunan daulah serta pemangkin kemuliaan dan kestabilan ummat. Hakikatnya, negara kita belum sampai ke tahap kritikal akibat kekurangan para ilmuan dan cerdik pandai yang lebih banyak jasanya kepada negara dan ummat dalam memperkembangkan ilmu dan pembangunan sosial, pendidikan dan ekonomi. Jadi, atas dasar apakah para selebriti di Malaysia dilayan secara eksklusif sebegitu rupa? Banggakah si artis apabila digelar orang dengan pangkat tersebut? Dan banggakah kita apabila seorang penyanyi yang sering tampil di khalayak ramai dengan konsep "berpakaian tetapi berbogel" mendapat kemuliaan dan keagungan di mata masyarakat? Tidak salah sekiranya dikatakan bahawa para selebriti yang sering mengheret umat manusia yang lainnya ke arah maksiat dan gejala sosial terutama budaya hedonisme digelar sebagai virus atau kuman penyebar penyakit yang berbahaya. Apatah lagi, karier yang bergelumang dengan populariti dan kegembiraan bagai di alam fantasi serta kononnya menghiburkan para peminat itu sendiri tercalit dosa yang bukan sekecil zarah. Suara lontaran penyanyi yang kebanyakannya wanita, yang termasuk dalam batasan aurat dalam Islam dipuji dan dipuja menggunung tinggi, kononnya kehebatan lontaran vokalnya hebat, bisa meluluhkan jantung para pendengar seni muzik yang satu cuma dalam sejuta.
Benarlah, dunia semakin hampir dalam misi perlumbaan ke penghujung garisannya. Manusia yang sering berbuat maksiat dan dosa diagungkan, sebaliknya sesiapa yang berada di atas jalan kebaikan dan keimanan dilabelkan sebagai sampah dan dipandang rendah oleh masyarakat serta sang penguasa. Buah yang busuk dan berlubang ditebuk ulat dimakan lahap, buah yang masak ranum, manis serta bebas dari serangga perosak dan racun pestisid dibuang ke dalam parit !!


0 comments: